Pemberitahuan Pencalonan Anggota Lembaga Kopeks Mesyuarat Agung Tahunan Ke-42, 2017

KEPADA SEMUA ANGGOTA KOPEKS,

SUKACITA DIMAKLUMKAN BAHAWA PERMOHONAN PENCALONAN BAGI PEMILIHAN ANGGOTA LEMBAGA KOPEKS DALAM MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE-42 BAGI TAHUN 2017 MULA DIBUKA PADA 09 JANUARI 2017 (ISNIN) HINGGA 27 JANUARI 2017 (JUMAAT).

BORANG PENCALONAN BOLEH DIPEROLEHI DI PEJABAT KOPEKS, TINGKAT SATU, LOT 40-42, BLOK F, SADONG JAYA, KOTA KINABALU. HARGA SENASKAH BORANG PENCALONAN IALAH RM200.00. SILA KEMUKAKAN LAPORAN CCRIS SEBELUM MEMBELI BORANG BERKENAAN.

BORANG YANG LENGKAP DIISI HENDAKLAH DIKEMBALIKAN KE PEJABAT KOPEKS, KOTA KINABALU SEBELUM ATAU PADA 27 JANUARI 2017 (JUMAAT) JAM 11.30 PAGI. SEBARANG PERTANYAAN SILA HUBUNGI 088-245558 (PEJABAT KOPEKS).

SYER MINIMUM RM200.00 DAN YURAN BULANAN

ANGGOTA HENDAKLAH MEMBAYAR PENUH SYER MINIMUM RM200.00 SELEWAT-LEWATNYA SEBELUM ATAU PADA 31 MAC 2017 BAGI MELAYAKKAN ANGGOTA UNTUK HADIR KE MESYUARAT AGUNG TAHUNAN 2017.

SILA PASTIKAN BAYARAN YURAN BULANAN TIDAK TERHENTI SELAMA ENAM BULAN BERTURUT-TURUT MENURUT UUK 21(2)(e)  DAN BAYARAN PINJAMAN TIDAK TERTUNGGAK (NPL) BAGI MELICINKAN PROSES PENDAFTARAN MASUK.

ANGGOTA YANG BERSARA DAN MASIH MENGEKALKAN KEANGGOTAANNYA HENDAKLAH MEMPUNYAI MODAL YURAN SEKURANG-KURANGNYA RM1000.00 DAN MODAL SYER MINIMUM RM200.00.

DATUK MAZNAH, TOKOH KEJAYAAN WANITA DALAM PERKHIDMATAN AWAM

21 Mac, 2011 Utusan Borneo

WAWANCARA KHAS

Oleh SITI AISYAH NARUDIN & YAP SIONG HAN

Melihat anak-anak patung yang tersusun rapi di rak di dalam pejabatnya, serta bingkai-bingkai gambar lama yang diatur kemas, jelas menunjukkan beliau seorang yang sukakan kekemasan dan berjiwa lembut. Tatkala kehadiran kami disambut mesra oleh sapaan dan senyumannya, terlupa seketika beliau adalah pegawai wanita paling kanan dalam sektor perkhidmatan awam di negeri Sabah.Sepanjang dua jam berbual dengan beliau, sangat banyak pengalaman, pengetahuan dan kenangan yang dikongsikan bersama oleh tokoh wanita yang juga ibu kepada tujuh cahayamata ini. Wartawan Utusan Borneo (UB), SITI AISYAH NARUDIN dan YAP SIONG HAN berkesempatan menemubual tokoh yang dimaksudkan iaitu Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Sabah, Datuk Maznah Abdul Ghani (DMAG), pada petang Khamis lepas di pejabatnya di Menara Tun Mustapha Kota Kinabalu.

UB: Penjawat awam di Sabah sudah mengenali peranan Datuk sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) (Pentadbiran) dalam perkhidmatan kerajaan negeri. Boleh Datuk ceritakan secara ringkas latar belakang keluarga Datuk?
DMAG: Allahyarham ayah saya berasal dari Negeri Sembilan dan semasa perang dunia kedua, beliau bersama abangnya berhijrah ke Sabah dan kemudiannya beliau mengahwini arwah ibu saya yang berasal dari Membakut. Walaupun lahir di Membakut, saya membesar di Kampung Sungai Padang, Papar memandangkan ayah saya bertugas sebagai Guru Besar di Sekolah Rendah Kerajaan (SKR) Papar. Saya merupakan anak ke tujuh daripada 10 orang adik-beradik termasuk dua orang yang sudah meninggal dunia yang mana kami terdiri daripada enam lelaki dan empat perempuan.

UB: Bagaimana pula latar belakang pendidikan Datuk?
DMAG: Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan (SKR) Papar dari darjah 1 hingga 6 dan kemudian bersekolah menengah di Sekolah St. Joseph, Papar dari tingkatan 1 hingga 3 (Bridge Class). Selepas itu, saya menyambung persekolahan di Maktab Sabah hingga tingkatan lima sebelum melanjutkan pengajian peringkat diploma di Brighton Technical College, United Kingdom (UK) dalam bidang Pengajian Pernigaan pada tahun 1976. Saya kemudiannya meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian) Ekonomi di University of Essex, UK pada tahun 1979.

UB: Apakah perbezaan cara pendidikan pada zaman Datuk dengan pendidikan pada masa kini, iaitu zaman teknologi dan ilmu pengetahuan?
DMAG: Pada zaman dahulu, kita belajar dengan melalui proses pemahaman dan membuat penulisan yang mendalam. Namun sekarang, kita nampak penekanan diberi kepada pendedahan secara meluas terhadap banyak perkara termasuklah pembelajaran melalui internet. Pengkhususan sekarang juga kurang, yang mana teknik menjawab soalan juga tidak begitu mantap sebagaimana sistem pembelajaran dahulu.

UB: Apakah kenangan manis yang Datuk sukar lupakan pada zaman persekolahan dan juga semasa di universiti?
DMAG: Pada waktu tingkatan 3 ketika itu bakal menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Persekolahan (SRP), saya bersama lima lagi rakan karib dalam tempoh setahun sebelum peperiksaan sentiasa membuat ulangkaji bersama-sama. Tiba masa seminggu sebelum SRP, kami semua berkelah bersama untuk merehatkan minda dan bergembira. Semasa keputusan peperiksaan keluar, kami semua mendapat keputusan cemerlang dan antara pelajar cemerlang di Papar. Semasa di universiti pula, sudah tentulah ketika berada di tahun pertama memandangkan ia adalah tahun yang dianggap sebagai 'honeymonn year'.

UB
: Apakah hobi Datuk pada masa lapang?
DMAG: Sejak kecil lagi saya memang menggemari sukan seperti hoki, tenis, ping pong, dan squash yang mana minat ini juga menjadikan saya selalu mengadakan aktiviti bersukan. Selain itu, saya juga suka membaca dan menonton televisyen termasuklah rancangan berbentuk penyiasatan seperti Crime Scene Investigation (CSI) dan juga rancangan sukan seperti tenis.

UB: Siapakah orang yang banyak mempengaruhi personaliti dan peribadi Datuk?
DMAG: Bagi saya, keluarga, ibu bapa, abang, adik, dan bapa mertua saya adalah orang yang banyak mempengaruhi personaliti dan peribadi saya terutamanya arwah ibu saya. Walaupun hanya seorang surirumah, namun beliau mampu menyediakan kehidupan yang sempurna untuk kami adik-beradik dan banyak mengajar kami untuk berdikari. Beliau tidak pernah berkata perkara yang tidak baik mengenai orang lain dan tidak suka menyusahkan orang lain.

UB: Mengapa Datuk menjadi pentadbir dan bukan ahli politik?
DMAG: Jika saya disuruh untuk menjadi ahli politik, ia mungkin demi kepentingan rakyat. Tetapi, setelah lebih 30 tahun saya berkhidmat dalam sektor kerajaan, saya rasa saya mahu berehat, menjadi ahli politik bukan satu kerja yang mudah, ia memerlukan banyak komitmen dan pengorbanan.

UB: Bagaimana cara Datuk mengurus dan menyeimbangkan masa Datuk untuk menangani tanggungjawab yang mendesak dengan masa peribadi untuk diri dan peribadi?
DMAG: Melalui perancangan yang teratur, keutamaan dan mengurus masa sendiri dengan sebaiknya. Contohnya, untuk keluarga saya mengutamakan hari jadi anak dan suami, ulang tahun perkahwinan, jamuan bersama ahli keluarga dan sahabat terdekat seperti pada perayaan Hari Raya Aidilfitri.

UB: Apakah jenis buku yang Datuk baca? Boleh sebutkan buku-buku yang Datuk sangat suka?
DMAG: Saya suka membaca buku pengurusan, kepimpinan dan motivasi. Baru-baru ini saya baru selesai membaca buku bertajuk 'Strategic Power Play', 'A Leader Without A Title' dan 'Leadership Wisdom' oleh Robin Sharma. Buku-buku Robin menekankan kepentingan rasa komited terhadap apa yang kita buat atau sentiasa kuat berusaha tidak kira apa jenis pekerjaan dan peranan kerana setiap orang mempunyai peranan masing-masing.


UB
: Apakah buku yang Datuk sedang baca sekarang dan mengapa Datuk memilih buku berkenaan?
DMAG: Sekarang ini saya sedang membaca buku 'A Doctor In The House' oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia merupakan sebuah buku yang mempunyai nilai sejarah dan pemikiran negarawan yang berwawasan.

UB: Selain itu, bagaimana pula dengan jenis makanan dan warna kegemaran Datuk?
DMAG: Memandangkan saya berasal dari kampung, sudah tentu saya menggemari masakan cara kampung dan ringkas seperti ikan masak ampap, ikan masin, sardin, dan juga udang kering. Kalau sayur, saya suka makan batang keladi campur udang kering dan juga rebung. Warna-warna yang cerah dan kuat merupakan pilihan saya yang mana ia memberikan 'mood' dan tenaga yang kuat selain mengingatkan motivasi serta keyakinan dan perasaan yang baik.

UB: Tempat-tempat di dunia yang Datuk pernah lawati dan kagumi?
DMAG: Antara tempat-tempat yang saya pernah lawati, lokasi seperti Rome, Paris, dan Barcelona begitu mengkagumkan dari segi keindahan bangunannya. Sebagai contoh, ada sebuah bangunan gereja yang direka oleh arkitek bernama Gaudhi di Barcelona yang memaparkan kisah Jesus di luar dinding bangunan. Arkitek itu membayangkan pada masa kini ramai yang tidak pergi ke gereja dan mereka mungkin tidak mengetahui kisah Jesus. Justeru, beliau pun mengukir kisah Jesus di bangunan agar orang yang tidak pergi ke gereja juga boleh mengetahui kisah tentang Jesus. Selain itu, saya juga amat mengkagumi Mekah. Saya pergi ke Mekah pada tahun 2007 untuk mengerjakan ibadah umrah. Kali pertama masuk dan melihat Kaabah, rasa kagum menerpa dalam diri dengan melihat orang yang tidak pernah putus-putus datang bagi mengerjakan ibadat setiap masa. Di sana saya sentisa merasa tenang dan damai tanpa ada sebarang tekanan.

UB: Apakah tempat yang ingin Datuk lawati?
DMAG: Kalau berkesempatan, saya ingin menaiki keretapi Orient Express iaitu keretapi dari Pittsburgh Russia menuju ke China. Saya rasa ia satu perjalanan yang sangat mencabar selama dua minggu berada di atas keretapi namun kosnya agak tinggi lebih kurang RM20,000. Saya juga berkeinginan untuk melawat Taj Mahal di India dan selalunya impian saya untuk mengunjungi ke satu-satu lokasi berputik dari pembacaan dan kebanyakan tempat yang saya kunjungi adalah bermula dari pembacaan.

UB: Baiklah Datuk, sekarang boleh kongsikan tentang kerjaya Datuk dalam perkhidmatan awam, Apa perasaan Datuk sebagai wanita paling kanan dalam sektor perkhidmatan awam di Sabah dengan jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran)?
DMAG: Saya merasa bangga sekali keranan sekurang-kurangnya kaum wanita dapat mendapat tempat dalam hierarki pentadbiran awam negeri. Dengan peluang yang diberikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman ini, saya juga berharap lebih ramai lagi kaum wanita diberikan tempat yang sesuai dalam organisasi dan agensi negeri kerana kita perlu mengiktiraf kepelbagaian dalam perkhidmatan awam yang mana ia akan menambah kecekapan organisasi dan agensi kerajaan. Dalam perkembangan masa kini yang
mementingkan pengetahuan dan kecekapan, kesamarataan perlu disemai agar tidak ada isu berkaitan gender ditimbulkan. Ini kerana kedua-dua pihak baik lelaki atau wanita, ia berpotensi untuk menyumbang idea dan pengetahuan yang berguna untuk pembangunan negara.

UB: Apakah tanggungjawab utama Datuk dalam pentadbiran kerajaan negeri?
DMAG: Tanggungjwab utama saya ketika ini ialah membantu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) meningkatkan kecekapan dan keupayaan semua agensi negeri. Justeru, sistem 'star rating' turut dilaksanakan untuk mengukur tahap prestasi dan kecekapan organisasi kerajaan menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Disamping tu, saya turut memastikan aspek kebersihan dan keindahan kawasan bandar, tempat awam dan pejabat kerajaan sentiasa terpelihara. Selain itu, saya juga bertanggungjawab dengan tugas-tugas lain yang membabitkan majlis dan sambutan perayaan yang perlu dilaksanakan setiap tahun.

UB: Apakah cabaran utama Datuk dalam menjalankan tugas rasmi pada hari ini?
DMAG: Cabaran utama saya adalah memastikan semua tugas-tugas utama tadi berjalan lancar, ditambah dengan desakan yang kami hadapi dari segi tenaga kerja, sumber-sumber lain yang mana sedikit sebanyak menjejaskan peranan kami dalam membantu pejabat SKN untuk meningkatkan kecekapan semua agensi kerajaan negeri. Justeru, saya terpaksa menggunakan semua anggota dibawah jagaan saya untuk bekerja secara berpasukan dalam menghadapi apa saja tugasan yang diberikan oleh Datuk Sukarti Wakiman selaku SKN disamping mendapatkan kerjasama agensi lain.

UB: Boleh Datuk ceritakan bagaimana kerjaya Datuk bermula?
DMAG: Saya sudah berkhidmat dalam kerajaan lebih 31 tahun sejak 20 Ogos 1979 dan kembali sahaja daribelajar di London, saya mula ditawarkan tugas sebagai Pegawai Tadbir A20 di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) hinggalah disahkan jawatan pada tahun 1983. Kemudian tahun 1991, saya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah N3 dan tahun 1992 dinaikkan ke Unit Integrasi N2. Saya juag pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Kota Kinabalu dan pada 12 mei 1998, saya dinaikkan ke N1 sebagai Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) hingga November 2006 sebelum menjadi TSKN dalam jawatan JUSA hingga sekarang.


UB
: Apakah kunci utama kemajuan kerjaya Datuk sebagai penjawat awam sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang dalam perkhidmatan awam?
DMAG: Saya mengamalkan budaya fokus dalam kerja selain percaya, tekun dan tahu bidang kerjaya saya dengan sebaiknya. Kita juga perlu ada keyakinan diri, belas kasihan dan juga integriti. Saya juga seorang yang rajin belajar untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dengan meghadiri seminar atau kursus. Apa sahaja tugas yang diberikan perlu disiapkan dengan menepati masa, berdisiplin dan berkualiti. Sebenarnya saya melibatkan diri dalam banyak aktiviti, majlis-majlis serta tidak kurang juga menghadiri jemputan membabitkan acara agensi kerajaan negeri, badan berkanun dan swasta. Saya mengamalkan sikap terbuka dan sesiapa sahaja boleh berjumpa saya sekiranya idea atau bantuan saya diperlukan. Bagi saya, kita perlu menonjolkan sikap yang baik bukan sahaja pada waktu kita menjawat jawatan TSKN, tetapi juga ketika menjadi ketua jabatan atau timbalan kerana kita sebenarnya adalah 'role model' bagi pegawai bawahan.

UB: Boleh Datuk kongsikan antara kejayaan yang Datuk sentiasa ingati dalam perkhidmatan awam?
DMAG: Semasa di Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (TSUT), saya pernah merangka satu bajet mendapatkan projek membangunkan sistem pembentungan di Sabah daripada kerajaan Persekutuan. Pada mulanya peruntukan itu tidak pernah diperolehi namun akhirnya berjaya, projek ini bermula di Semporna dan ini merupakan kejayaan saya yang suka diingati.

UB: Apakah falsafah perkhidmatan awam yang menjadi teras pemikiran Datuk?
DMAG: Berkhidmat dalam perkhidmatan awam, saya berpegang kepada falsafah kebersihan, ikhlas, amanah, jujur, dan prihatin khususnya kepada pegawai bawahan serta mereka yang kurang bernasib baik.

UB: Apakah pandangan Datuk terhadap peranan wanita dalam pembangunan negara dan dalam sektor awam?
DMAG: Pada pandangan saya, berbanding pada masa dahulu, sekarang ini kita sudah semakin maju yang mana masyarakat maju berasaskan pengetahuan komunikasi teknologi maklumat (ICT). wanita berkemampuan untuk menjana pemikiran, perancangan, pengurusan organisasi yang cekap dan berkesan serta ini merupakan 'Human Capital' yang penting untuk memajukan sesebuah negara. Contohnya, ramai pelajar di institusi pengajian tinggi sekaranglebih didominasi oleh golongan wanita dan jika mereka tamat pengajian, peranan mereka boleh digunakan untuk memajukan negara.

UB: Selaras dengan pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang dipelopori oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri di peringkat negeri, Adakah jentera pentadbiran negeri Sabah sudah bersedia untuk menggerakkan pelan berkenaan?
DMAG: Saya yakin Sabah sudah bersedia melaksanakan pelan ini kerana kekuatan kerajaan ialah kita mempunyai Wawasan 2020 yang jelas dan di peringkat negeri Sabah, kita mempunyai hala tuju dengan 'Political Will' untuk menjadi negara maju. Jentera kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai sistem pengurusan dan penyampaian yang mampu menangani transformasi sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970. Para pegawai kanan juga mempunyai kemahiran dan berpengalaman yang mantap serta memahami sistem penyampaian dan keutamaan semasa dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

UB: Apakah pesanan Datuk kepada penjawat awam yang masih muda dan sedang memajukan kerjaya serta ingin berjaya sebagai pentadbir yang cemerlang?
DMAG: Saya berharap penjawat awam yang masih muda perlu belajar dari pemimpin terdahulu serta pupuk daya kepimpinan, bersikap terbuka dan proaktif. Mereka perlulah berani, berbudi bahasa dan menghasilkan kerja yang terbaik sepertimana yang mereka janjikan.

UB: Siapakah pentadbir awam negara yang banyak mempengaruhi pemikiran Datuk?
DMAG: Tokoh yang banyak mempengaruhi pemikiran saya adalah Tan Sri Azizan Hussin yang menjadi Pengarah di bahagian UPEN ketika saya bertugas sebagai pembantu tadbir. Beliau seorang pentadbir yang banyak membentuk budaya kerja cemerlang saya bersama ramai pegawai lain antaranya Setiausaha Tetap kepada KPI, Datuk Felix Madan.

UB: Siapakah pemimpin Malaysia yang Datuk kagumi? Mengapa?
DMAG: Pemimpin Malaysia yang saya sangat kagumi adalah Tun Dr Mahathir, kerana beliau seorang pemimpin yang berwawasan jauh. Pemikiran beliau mendahului kita lebih dari satu generasi serta dari beliau kita lebih memahami pentingnya dalam membuat perancangan jangka panjang.

UB: Masyarakat juga mengenali Datuk sebagai peneraju pembaharuan dalam gerakan koperasi di Sabah khususnya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) sejak tahun 1990-an. Mengapa Datuk begitu prihatin terhadap gerakan koperasi?
DMAG: Sudah 15 tahun saya menjadi peneraju Kopeks, koperasi ini boleh membentuk individu menjadi ahli kumpulan yang mempunyai kuasa ekonomi, mampu berdikari dan menjaga kebajikan secara beramai-ramai. Keuntungan perniagaan yang diperolehi akan digunakan untuk kebajikan para ahlinya kerana kebanyakan mereka terdiri daripada berpendapatan rendah. Ini membolehkan saya untuk menyumbang ke arah kesejateraan terutamanya mereka yang kurang mampu. Di Eropah dan Jepun, korperasi mempunyai daya-saing yang sama dengan syarikat swasta lain namun di Malaysia kita masih perlu membangunkan dan meningkatkan peranan. Saya mula bergiat dalam koperasi sejak tahun 1980an sebagai anggota Kopeks, kemudian saya dipilih menjadi pengarah dam lembaga Kopeks. Pada tahun 2000, Kopeks mengalami kemerosotan. Saya bersama dengan beberapa anggota dan pegawai merangka pelan pemulihan untuk menyelamatkan Kopeks daripada muflis dan ditutup. Proses pemulihan itu telah berjaya dibuat dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Seterusnya pada tahun 2009, saya telah dipilih dan dilantik sebagai Pengerusi Kopeks. Kopeks diterajui dengan baik kerana ia melibatkan nilai perniagaan dan aset yang berjumlah ratusan juta ringgit. Kopeks dimiliki sepenuhnya oleh penjawat awam, oleh itukewangan Kopeks adalah berkait rapat dengan ekonomi dan kewangan lebih 10,000 keluarga para penjawat awam di Sabah.

UB: Datuk juga menjadi Pengerusi Pelawat Taman Seri Puteri dan pemegang amanah Puspanita Cawangan Sabah. Apakah hasrat utama Datuk dalam memimpin dua badan Organisasi Bukan kerajaan (NGO) ini?
DMAG: Saya sebenarnya sudah sembilan tahun menjadi Penegrusi Pelawat Taman Seri Puteri ini dan berniat untuk melepaskan jawatan ini untuk diberikan kepada orang baru bagi menerajuinya tahun ini. Organisasi ini bertujuan untuk membimbing remaja peremuan berumur 18 tahun ke bawah yang terjejas atau kurang bernasib baik. Kita akan membimbing mereka, memberi mereka kemahiran agar apabila sudah tiba masa nanti mereka mampu untuk hidup berdikari berdasarkan kemahiran yang kita berikan. Selain itu, antara tugas sebagai pemegang amanah di Puspanita, segala harta yang wujud harus diurus dengan baik untuk pertubuhan isteri-isteri penjawat awam di Sabah secara sistematik.

UB: Sebagai seorang yang gemarkan aktiviti bersukan dan juga ahli sukan yang aktif pada masa dahulu (hoki, squash, tenis, dan ping pong) hinggalah Datuk dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Ping Pong Sabah. Apakah misi Datuk bagi sukan ping pong di negeri ini?
DMAG: Saya sebenarnya sangat meminati sukan dan saya juga pernah menjadi pemain Sabah untuk sukan squash dalam sukan Sukma dan bermain hoki untuk bagi mewakili Sabah semasa sekolah menengah. Pada ketika ini, saya masih aktif bermain ping pong untuk kementerian dan jabatan saya. Ping pong adalah satu sukan yang unik, mudah dipelajari, tidak mahal, tidak memerlukan gelanggang besar, hanya perlu ruangan yang mencukupi dan ia juga sukan bertaraf antarabangsa. Saya berharap ia menjadi sukan kepada semua masyarakat di Sabah. Saya berharap kita mempunyai bangunan untuk persatuan ping pong sendiri dan tidak perlu meminjam bangunan sukan lain. Saya percaya kita mampu melahirkan juara ping pong dalam masa tiga hingga lima tahun ini.

UB: Pada tahun 2001, Datuk telah dianugerahkan sebagai Wanita Cemerlang Negeri Sabah oleh kerajaan Negeri Sabah. Sekali lagi, pada tahun 2010, Datuk dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul negeri Sabah bagi kategori wanita, justeru, apakah pesanan dan harapan Datuk untuk wanita di negeri ini?
DMAG: Saya berpesan kepada semua wanita agar apa sahaja benda yang dibuat, haruslah dibuat dengan komitmen yang terbaik, tidak cepat putus asa dan terima segala keputusan sama ada positif atau negatif. Wanita juga harus membuat kerja dengan berkualiti, ada komitmen dan memiliki rasa ghairah untuk mengejar kejayaan. Pemimpin juga harus menjaga pekerja bawahannya agar rasa hormat mereka sentiasa ada walau kita sudah bersara.
 

KEJAYAAN KOPEKS RAIH UNTUNG TANDA POSITIF

28 September, 2010 Utusan Online

Yahya Hussin (dua dari kiri) menandatangani senarai tetamu semasa menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah di Menara MAA, Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU 28 Sept. – Kejayaan Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) meraih pendapatan sebanyak RM10.74 juta pada tahun lepas merupakan petanda positif bagi agensi itu untuk mencatat kejayaan sama pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, prestasi memberangsangkan Kopeks adalah hasil daripada usaha gigih ahli koperasi itu meneroka bidang pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini.

''Ini petanda baik kerana keuntungan yang dicatatkan oleh sesebuah koperasi juga akan menguntungkan ahli-ahlinya. Ini merupakan satu berita yang ditunggu-tunggu oleh ahli Kopeks," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas mengenai prestasi pendapatan Kopeks pada tahun lepas yang meningkat kepada 73.4 peratus.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri ditemui semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah di Menara MAA di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah SKM Negeri, Saiful Bahri Omar; Timbalannya, Joseph Teng Mun Koh dan Matias Kundapin dan Pengerusi Kopeks, Datuk Maznah Abd. Ghani.

Yahya berkata, beliau turut berpuas hati apabila keuntungan sebelum cukai koperasi tersebut tahun lalu mencatatkan peningkatan berganda kepada RM4.19 juta berbanding hanya RM1.37 juta pada 2008.

Pengumuman mengenai hasil pendapatan itu dinyatakan dalam mesyuarat agung tahunan Kopeks pada Ahad lalu.

Sehubungan itu, Yahya menggesa Ahli Lembaga Pengarah Kopeks sesi 2010/2011 yang dipilih agar menjalankan tugas dan amanah dengan penuh komitmen selaras dengan harapan ahli-ahli koperasi.

Mengenai prestasi koperasi di Sabah, Yahya berkata, bilangan koperasi yang ditubuhkan di negeri ini setakat 31 Julai tahun ini ialah sebanyak 688 buah dengan bilangan anggota seramai 223,557 orang.

Katanya, koperasi yang berasaskan pertanian, perikanan dan penternakan merupakan sektor yang amat berpotensi untuk diterokai dan diceburi memandangkan negeri dan negara ini masih mengimport bahan-bahan makanan tersebut.

 

KOPEKS HARAP ANGGOTANYA DAPAT TINGKAT PELABURAN SAHAM

28th September, 2010 Sabah Times

KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) berharap anggotanya dapat meningkatkan jumlah pelaburan saham masing-masing dari minimum RM100 sekarang kepada RM1,000 mulai tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Maznah Abdul Ghani berkata, tambahan yang lebih tinggi sangat digalakkan sebelum koperasi itu menetapkan had maksimum saham pelaburan bagi setiap anggotanya nanti.

“Dengan suntikan saham baru bagi setiap anggota, kita berharap untuk meningkatkan jumlah saham Kopeks dari RM3 juta sekarang kepada RM15 juta pada 24 bulan akan datang,” katanya pada mesyuarat Agung Tahun Kopeks ke-35 kelmarin.

Menurutnya, tambahan jumlah saham itu sangat penting kerana ia akan mengembangkan jumlah modal kerja dalaman Kopeks yang mana dalam jangka panjang akan mengurangkan kos modal pinjaman.

Selain itu, katanya, anggota pula boleh menikmati hasil pulangan dividen dari keuntungan yang dijangka akan meningkat.

“Cabaran utama pengukuhan Kopeks ialah kekurangan modal kerja, ini kerana kadar pertumbuhan pinjaman kita sangat mendadak berbanding dengan kadar pertumbuhan modal kerja dan sumbangan pelaburan saham dan yuran oleh anggota,” katanya.

Maznah berkata, untuk masa ini Kopeks menggunakan pendekatan pembiayaan luar sebagai strategi pertumbuhan jangka sederhana.

“Namun untuk jangka panjang, dan untuk merealisasikan transformasi yang berkesan, maka peranan dan sokongan padu setiap anggota sangatlah mustahak dalam meningkatkan dana dalaman,” katanya.

Beliau berkata, sebagai koperasi yang berorientasikan perniagaan dan keuntungan di samping keanggotaan yang ramai, hakikatnya Kopeks memiliki skala ekonomi yang boleh dibangunkan dan dimanfaatkan sebagai sebuah koperasi yang mempunyai “two-pronged strategy”

Ia katanya, adalah untuk menjaga kebajikan para anggotanya sebagai strategi utama dan membangunkan Kopeks menjadi sebuah organisasi perniagaan yang berdaya maju, berinovasi dan berdaya saing sebagai strategi kedua.

Sementara itu, lima Ahli Lembaga Kopeks yang terpilih bagi penggal 2010-2011 dalam pemilihan yang diadakan pada Mesyuarat Agung ke-35 Kopeks ialah Sabri Sidah, Abdullah Sani Daud, Saturah [email protected], Mat Salleh Sapong dan Tujuh Nalin.

 

KOPEKS CATAT KEUNTUNGAN SEBELUM CUKAI RM4.2 JUTA

27th September, 2010 New Sabah Times

KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM4. 2 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu dan me- rupakan keuntungan yang tertinggi dicapai koperasi itu sejak lebih 15 tahun lalu.

Pengerusi Kopeks, Datuk Maznah Abdul Ghani berkata, keuntungan yang diperolehi tahun lalu itu meningkat dua kali ganda iaitu 204.73 peratus daripada RM1.3 juta yang dicapai pada tahun 2008.

Menurutnya, Kopeks juga mencatat peningkatan hasil pendapatan 73.40 peratus iaitu dari RM6.2 juta pada tahun 2008 kepada RM10.7 juta tahun lalu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat Agung Tahunan Kopeks ke-35 yang diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan di sini, kelmarin.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsor Saad merasmikan mesyuarat Agung Tahunan koperasi itu.

Beliau berkata, meskipun kemerosotan ekonomi dunia tahun lalu yang turut melanda negara ini belum pulih sepenuhnya, namun ekonomi Kopeks pada keseluruhannya tidak terjejas sama sekali.

Ini kerana, katanya, urusan perniagaan koperasi itu masih terbatas kepada urusan perniagaan koperasi itu masih terbatas kepada urusan perniagaan dalam negeri sahaja dan tidak membuat pelaburan luaran.

Menurutnya, peningkatan yang ketara itu berlaku disebabkan sokongan para anggota koperasi yang telah menggunakan kemudahan pinjaman yang mana telah mencatatkan peningkatan 195 peratus dalam pengeluaran pinjaman iaitu dari RM24.4 juta kepada RM47.6 juta pada tahun lalu.

Pada masa yang sama kata- nya, belanja operasi juga dapat dikawal secara berhemah dan peningkatan kos berlaku dalam kos berubah untuk modal kerja pembiayaan atau faedah bank sahaja.

Sementara itu, katanya, prestasi kutipan pinjaman juga memuaskan di mana kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) hanya sebanyak 0.83 peratus.

Maznah berkata, berdasar- kan prestasi yang baik pada tahun lalu itu, pihak Anggota Lembaga koperasi itu telah mencadangkan pengagihan dividen sebanyak tujuh peratus iaitu lima peratus atas saham dan dua peratus atas yuran.

Bagaimanapun katanya, ca- dangan itu tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Agung dan pihak berkuasa iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Beliau juga berkata, pada Mac lalu berasaskan Akaun tahun 2008, buat pertama kali- nya dalam tempoh 10 tahun Kopeks telah mengagihkan pembayaran bonus iaitu sebagai ganti kepada dividen kepada para anggotanya.

“Bayaran bonus diagihkan sebagai ‘bonus anggota setia’ atas nasihat Suruhanjaya Koperasi Malaysia, kerana dividen tidak boleh dibayar disebabkan adanya kerugian terkumpul yang dialami oleh koperasi sejak tahun 2000 yang lalu.