KEJAYAAN KOPEKS RAIH UNTUNG TANDA POSITIF

28 September, 2010 Utusan Online

Yahya Hussin (dua dari kiri) menandatangani senarai tetamu semasa menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah di Menara MAA, Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU 28 Sept. – Kejayaan Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) meraih pendapatan sebanyak RM10.74 juta pada tahun lepas merupakan petanda positif bagi agensi itu untuk mencatat kejayaan sama pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, prestasi memberangsangkan Kopeks adalah hasil daripada usaha gigih ahli koperasi itu meneroka bidang pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini.

''Ini petanda baik kerana keuntungan yang dicatatkan oleh sesebuah koperasi juga akan menguntungkan ahli-ahlinya. Ini merupakan satu berita yang ditunggu-tunggu oleh ahli Kopeks," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas mengenai prestasi pendapatan Kopeks pada tahun lepas yang meningkat kepada 73.4 peratus.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri ditemui semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah di Menara MAA di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah SKM Negeri, Saiful Bahri Omar; Timbalannya, Joseph Teng Mun Koh dan Matias Kundapin dan Pengerusi Kopeks, Datuk Maznah Abd. Ghani.

Yahya berkata, beliau turut berpuas hati apabila keuntungan sebelum cukai koperasi tersebut tahun lalu mencatatkan peningkatan berganda kepada RM4.19 juta berbanding hanya RM1.37 juta pada 2008.

Pengumuman mengenai hasil pendapatan itu dinyatakan dalam mesyuarat agung tahunan Kopeks pada Ahad lalu.

Sehubungan itu, Yahya menggesa Ahli Lembaga Pengarah Kopeks sesi 2010/2011 yang dipilih agar menjalankan tugas dan amanah dengan penuh komitmen selaras dengan harapan ahli-ahli koperasi.

Mengenai prestasi koperasi di Sabah, Yahya berkata, bilangan koperasi yang ditubuhkan di negeri ini setakat 31 Julai tahun ini ialah sebanyak 688 buah dengan bilangan anggota seramai 223,557 orang.

Katanya, koperasi yang berasaskan pertanian, perikanan dan penternakan merupakan sektor yang amat berpotensi untuk diterokai dan diceburi memandangkan negeri dan negara ini masih mengimport bahan-bahan makanan tersebut.

 

KOPEKS HARAP ANGGOTANYA DAPAT TINGKAT PELABURAN SAHAM

28th September, 2010 Sabah Times

KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) berharap anggotanya dapat meningkatkan jumlah pelaburan saham masing-masing dari minimum RM100 sekarang kepada RM1,000 mulai tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Maznah Abdul Ghani berkata, tambahan yang lebih tinggi sangat digalakkan sebelum koperasi itu menetapkan had maksimum saham pelaburan bagi setiap anggotanya nanti.

“Dengan suntikan saham baru bagi setiap anggota, kita berharap untuk meningkatkan jumlah saham Kopeks dari RM3 juta sekarang kepada RM15 juta pada 24 bulan akan datang,” katanya pada mesyuarat Agung Tahun Kopeks ke-35 kelmarin.

Menurutnya, tambahan jumlah saham itu sangat penting kerana ia akan mengembangkan jumlah modal kerja dalaman Kopeks yang mana dalam jangka panjang akan mengurangkan kos modal pinjaman.

Selain itu, katanya, anggota pula boleh menikmati hasil pulangan dividen dari keuntungan yang dijangka akan meningkat.

“Cabaran utama pengukuhan Kopeks ialah kekurangan modal kerja, ini kerana kadar pertumbuhan pinjaman kita sangat mendadak berbanding dengan kadar pertumbuhan modal kerja dan sumbangan pelaburan saham dan yuran oleh anggota,” katanya.

Maznah berkata, untuk masa ini Kopeks menggunakan pendekatan pembiayaan luar sebagai strategi pertumbuhan jangka sederhana.

“Namun untuk jangka panjang, dan untuk merealisasikan transformasi yang berkesan, maka peranan dan sokongan padu setiap anggota sangatlah mustahak dalam meningkatkan dana dalaman,” katanya.

Beliau berkata, sebagai koperasi yang berorientasikan perniagaan dan keuntungan di samping keanggotaan yang ramai, hakikatnya Kopeks memiliki skala ekonomi yang boleh dibangunkan dan dimanfaatkan sebagai sebuah koperasi yang mempunyai “two-pronged strategy”

Ia katanya, adalah untuk menjaga kebajikan para anggotanya sebagai strategi utama dan membangunkan Kopeks menjadi sebuah organisasi perniagaan yang berdaya maju, berinovasi dan berdaya saing sebagai strategi kedua.

Sementara itu, lima Ahli Lembaga Kopeks yang terpilih bagi penggal 2010-2011 dalam pemilihan yang diadakan pada Mesyuarat Agung ke-35 Kopeks ialah Sabri Sidah, Abdullah Sani Daud, Saturah [email protected], Mat Salleh Sapong dan Tujuh Nalin.