DATUK MAZNAH ABDUL GHANI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarkatuh, dan Selamat Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan syabas kepada Pengurusan dan Kakitangan Kopeks kerana telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kopeks dengan lancar, teratur dan penuh harmoni pada kali ini di samping suasana ceria yang jelas terpancar di wajah setiap ahli Kopeks. Kita sebenarnya amat berbangga kerana selepas sahaja Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Rakyat Assets Management Sdn Bhd (RAM) mentadbir Kopeks empat tahun lalu, memang banyak perubahan telah berlaku di segi tahap pengurusan yang lebih telus dan cekap. Sememangnya dalam kegawatan ekonomi yang sedang kita alami pada ketika ini, ketelusan dan akauntabiliti adalah dua aspek pengurusan yang amat penting demi menjamin pengurusan yang cekap, penuh integriti dan akauntabiliti, bertanggungjawab terhadap kebajikan ahli-ahli kopeks dan yang penting sekali ialah memelihara kedudukan kewangan dan keberuntungan kopeks sebagai sebuah koperasi yang berdaya maju dan berdaya saing.

Sebelum saya pergi jauh, saya ingin merakamkan setinggi ucapan terimakasih kepada para pegawai kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Rakyat Assets Management Sdn Bhd di atas daya usaha dan kebijaksanaan dalam melaksanakan Pelan Pemulihan Kopeks sehingga berjaya membina dan membangunkan Kopeks kembali kepada objektif asal penubuhannya iaitu memberi pinjaman kewangan kepada para anggota yang memerlukan di samping bertindak memperkasakan dan mengukuhkan lagi prestasi dan pencapaian perniagaan dan semestinyalah berupaya mencatat keuntungan yang optima dan memberangsangkan bukan sahaja buat hari ini bahkan bagi masa-masa hadapan melalui pelan keberuntungan jangka panjang atau ‘long-term profitability’. Kopeks juga sebagai ‘business-oriented coperation’ dan mempunyai keahlian yang ramai sememangnya boleh di bina dan dibangunkan sebagai sebuah koperasi yang berdaya maju asalkan sahaja kita tahu ke mana hendak di tuju dan apa bidang berpotensi (potential areas of investment) yang hendak di terokai. Kesemuanya memerlukan kepakaran berfikir dan merancang secara strategik demi menjaga dan memelihara prospek kopeks sebagai sebuah badan yang mempunyai ‘two-pronge strategy’ iaitu menjaga kebajikan para ahlinya sebagai strategi utama dan membangunkan kopeks menjadi sebuah organisasi perniagaan yang berdaya maju dan berdaya saing. Kalau YAB Perdana Menteri dengan slogannya ‘1Malaysia, Rakyat di dahulukan, Pencapaian di utamakan’, maka kita di kopeks pun akan menzahirkan slogan yang sama iaitu “1kopeks, Ahli di dahulukan, pencapaian di utamakan”. Ertinya biar hanya ada satu koperasi sahaja buat seluruh kakitangan kerajaan di Sabah baik Negeri dan Persekutuan termasuklah badan-badan berkanun kerajaan di mana ahlinya tetap di dahulukan dan pencapaian kopeks di utamakan.

Dalam pada itu, tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih di atas sokongan padu Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta seluruh anggota Kopeks yang melebihi 8 ribu orang, dan kepada barisan Ahli Lembaga Pengarah Kopeks yang baru di pilih, tahniah di ucapkan di atas pemilihan yang telah di laksanakan dengan adil dan telus, dan semoga berjaya melaksanakan amanah yang di berikan bagi tempoh 2009-2010 dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

Seterusnya, bagi Mesyuarat Lembaga Pengarah Kopeks, ianya pada dasarnya akan di adakan sekali dalam sebulan untuk membincangkan dasar dan perancangan, menetapkan halatuju perniagaan dan pelan pengukuhan Kopeks secara strategik. Antara lain :-

2.2 Lembaga akan bermesyuarat bagi menetapkan dasar-dasar pengurusan, pentadbiran dan kewangan, keanggotaan dan perihal kemudahan yang boleh di berikan kepada Anggota. Manakala pihak pengurusan pula akan bertindak sebagai pelaksana semua ketetapan yang di buat oleh Lembaga Pengarah.

2.3 Lembaga Pengarah pula di larang terlibat secara langsung atau aktif dalam aktiviti perniagaan harian dan Pentadbiran Am koperasi yang mana akan di kendali dan di uruskan oleh pihak pengurusan mengikut amalan dan dasar-dasar yang di tetapkan.

2.4 Untuk mempastikan tindakan di selaraskan secara berkesan, semua Ahli Lembaga Pengarah akan di libatkan dalam setiap ketetapan yang di buat dan dipusatkan dalam Mesyuarat Lembaga sahaja. Oleh itu, untuk sementara waktu tiada AJK Kecil akan di bentuk (sebagai mana pendekatan pengurusan sebuah syarikat).

2.5 Notis mesyuarat pula akan dihantar kepada Ahli Lembaga Pengarah tidak kurang dari 7 hari, melainkan terdapat keperluan yang mendesak.

2.6 Bilangan atau siri Mesyuarat Lembaga hendaklah diberikan nombor secara berterusan dan tidak menggunakan urutan baru pada tahun yang baru. Ini untuk mempastikan kesemua Minit Lembaga Kopeks dapat di kesan dan di simpan dengan mudah. Nombor mesyuarat kali ini dimulakan dengan No1.

2.7 “Board Paper” akan disediakan pada setiap mesyuarat Lembaga.

2.7 Usul atau perkara yang hendak dibincang atau dibawa sebagai Agenda “Hal-Hal Lain” setiap kali mesyuarat hendaklah dikemukakan oleh Ahli Lembaga Pengarah lebih awal iaitu tidak kurang tiga hari sebelum tarikh mesyuarat. Ia hendaklah dibuat dengan mengisi “Borang Agenda bagi Hal-Hal Lain Mesyuarat Lembaga Kopeks” yang mana hendaklah diterima dan didaftarkan oleh Pengerusi atau Setiausaha terlebih dahulu. Usul berkenaan hanya disebut tetapi tidak akan dibincang jika ia memerlukan maklumat atau kertaskerja tambahan.

2.8 Seorang pencatat Minit dari pengurusan akan dilantik.

2.9 Pengurus Besar & Ketua Pegawai Kewangan (CFO) hendaklah menghadiri semua mesyuarat Lembaga, dan pengurus/pegawai lain hendaklah hadir apabila diperlukan.

3. Bagi Pendekatan Pengurusan pula;

Lembaga akan meneruskan pendekatan tadbir-urus koperasi yang baik (coperative’s good governance) yang yang telah diterapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Rakyat Aset Management sejak bulan Jun 2005 berasaskan pendekatan pengurusan bank dan institusi kewangan yang sistematik dan profesional.

Oleh itu, urusan dan aktiviti perniagaan harian serta Pentadbiran Am koperasi akan di uruskan sepenuhnya oleh pengurusan tanpa campurtangan daripada mana-mana Lembaga.

4. Kopeks juga telah menetapkan “Dasar Am Perkhidmatan Angota” seperti berikut;

4.1 Proses kelulusan pembiayaan berasaskan Syariah dan pinjaman diteruskan berasaskan kriteria penilaian kredit yang telus dan jitu.

4.2 Tiada pembiayaan atau pinjaman dibenarkan kepada Anggota yang mempunyai rekod hitam ataupun gaji tidak mencukupi, atau melebihi had gaji yang dibenarkan oleh majikan.

4.3 Proses kelulusan dan pembayaran hendaklah mengikut sistem pengurusan pinjaman komputer bersepadu yang sedang digunakan.

5. Perancangan dan Halatuju Pengukuhan KOPEKS 2009-2011

i. Meningkatkan dan mempelbagaikan kemudahan/pakej pembiayaan dan perkhidmatan kepada Anggota.

ii. Meningkatkan pinjaman dengan pengeluaran sebanyak RM150 juta dalam tempoh tiga tahun atau 36 bulan akan datang (purata RM4 juta sebulan)

iii. Mendapatkan pembiayaan dari pihak kerajaan dan pihak bank serta institusi kewangan dengan merundingkan kos modal (kadar faedah) yang lebih rendah

iv. Meningkatkan keanggotaan baru khususnya dari kalangan pegawai kanan kerajaan dengan sasaran 200 sebulan atau tambahan 7,200 anggota dalam tempoh 3 tahun.

v. Mengembangkan keupayaan dan skop perniagaan Kopeks ke bidang yang lebih berdaya saing khususnya dalam bidang pembekalan, pembinaan, perkhidmatan dan sebagainya.

vi. Mengkaji dan membangunkan sistem ICT yang boleh menampung peranan Kopeks sebagai pusat potongan gaji di Sabah (seperti peranan Angkasa) dan urusniaga melalui e-commerce.

vii. Mengkaji dan membangunkan kemudahan infrastruktur, hartanah dan bangunan yang menjana pendapatan lebih cergas.

viii. Meneruskan pengurusan kewangan yang cekap dan strategik dengan sasaran jumlah pendapatan lebih RM20 juta bagi tahun 2009, 2010 dan 2011 dengan prestasi keuntungan dan membayar dividen yang memuaskan kepada Anggota.

ix. Sentiasa berganding bahu, menerapkan dasar dan kerkerjasama rapat dengan dengan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menjamin tadbir-urus koperasi yang terpuji dan boleh di banggakan.

Sebagai mengakhiri ucapan saya, sekali lagi di tegaskan bahawasanya Ahli Lembaga Pengarah yang telah dipilih adalah berkewajiban penuh sebagai pemegang amanah kepada Anggota dan koperasi secara bersama, dan bukannya sebagai pemilik ‘majority’. Oleh itu, pertimbangan Ahli Lembaga Pengarah kopeks hendaklah berasaskan kepada kepentingan majoriti Anggota dan bukannya keperluan Anggota secara individu.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.

DATUK MAZNAH ABDUL GHANI
Pengerusi KOPEKS
8 Jun 2009